KOTA RAJA BERSIUNG
Kota ini terletak di Kampung Pinang Tunggal dalam daerah Kuala Muda, kira-kira 8km ke selatan bandar Sungai Petani. Berdasarkan kesan yang ada menunjukkan Kota Raja Bersiung ini lebih luas hingga sampai ke sebuah paya di Kampung Seberang Tok Soh. Tidak dapat dipastikan dengan jelas Raja Kedah yang manakah membina Kota tersebut. Dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, tidak ada disebut Kota Raja Bersiung. Sementara dalam Hikayat Merong Mahawangsa ada catatan yang menyebut Raja Kedah yang bergelar Raja Ong Maha Perita Deria yang memakan darah manusia itu digelar Raja Bersiung membina Kota ini, yang disebut "Kota Aur". Aur bererti buluh iaitu sejenis buluh yang tumbuh di tepi sungai tersebut.
GUA KERBAU
Terletak di Bukit Keplu, Kampung Kodiang Lama. Merupakan tempat perlindungan dan tempat merancang strategi peperangan semasa pemerintahan Tunku Anum untuk menentang Raja Ligor yang menyerang Kedah.
Gua Kerbau juga pernah menjadi tempat kediaman masyarakat purba. Berdasarkan pada penyelidikan dan penemuan, artifak yang ditemui di Gua Kerbau ialah alat-alat batu zaman neolitik serta tembikar berkaki tiga yang mempunyai persamaan dengan penemuan di Bukit Tenku Lembu Perlis dan Bankau di Thailand.
TAPAK CANDI BUKIT BATU PAHAT
Tapak ini terletak di hulu sungai Merbok selatan Gunung Jerai. Ianya merupakan tempat aktiviti agama Hindu dalam kurun yang ke-6 hingga ke-8.
KOTA ATAU ISTANA TUNKU KUDIN
Istana ini terletak berhampiran kaki Bukit Tinggi berdekatan dengan Sungai Bukit Pinang. Waktu itu sungai adalah menjadi nadi pengangkutan zaman silam di Kedah. Manisan lebah digunakan bagi menggantikan simen untuk membina istana tersebut. Kedudukan istana itu kira-kira 1.6km dari pekan Kepala Batas dan hanya 2.4km dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim manakala cuma 12.4km dari bandar DiRaja Alor Setar.
KOTA KUALA KEDAH
Kota Kuala Kedah terletak di sebelah kanan muara Sungai Kedah. Kedudukannya betul-betul di dalam Kampung Seberang Kota, kira-kira 11.6km dari bandar Alor Setar. Mulanya Kota Kuala Kedah dibina daripada tanah lumpur. Ianya menjadi tapak kubu yang tertua di Malaysia. Kanan muara Sungai Kedah dijadikan benteng pertahanan juga mengawal jajahan takluknya termasuklah jalan darat yang merentasi ke Telok Siam. Dato Maharaja Kadhi Syeikh Abdul Jalil telah ditugaskan untuk membuat reka bentuk bangunan kota itu. Kerja-kerja pembinaan kota itu bermula pada 10 Safar 1185 (bulan Mei 1771). Kota ini siap dalam tahun 1194H (1780M).
sumber rujukan; http://nurulhayatimohddaud.blogspot.com/2015/10/mulai-hari-ini-saya-akan-menceritakan.html?m=1
No comments:
Post a Comment